Sunday, May 10, 2009

2 jenis rawatan rambut

Saya seorang lelaki berusia pertengahan 20-an. Saya baru saja keluar dari universiti dan sedang mencari pekerjaan. Apa yang merisaukan, saya mula kehilangan rambut. Dahi saya kelihatan jendul dan luas. Adakah masalah ini berkaitan genetik kerana abang saya juga berhadapan dengan masalah sama yang akhirnya menjadi botak atau masalah itu berkaitan dengan tekanan disebabkan belum mendapat pekerjaan?

Pemuda hampir botak
melalui e-mel

JAWAPAN:

Saya amat memahami kerunsingan yang saudara hadapi berhubung dengan masalah rambut saudara. Lebih menekan, tentu saja usia saudara masih muda sedangkan kepala sudah hampir botak.

Berdasarkan cerita, abang saudara juga mengalami masalah yang sama dan menjadi botak. Masalah yang saudara alami ini dikenali sebagai ‘androgenetik alopecia”

Androgenetik alopecia atau dikenali juga sebagai kebotakan pada lelaki (male pattern baldness). Masalah ini disebabkan faktor keturunan atau gangguan hormon. Masalah ini boleh diwarisi sama ada melalui bapa, ibu atau kedua-duanya sekali.

Untuk pengetahuan, pertumbuhan rambut melalui tiga fasa, iaitu fasa anagen (pertumbuhan), fasa catagen (perubahan) dan fasa telogen (rehat dan gugur). Setiap hari rambut akan gugur dan secara umum rambut yang gugur kurang daripada 100 helai sehari dianggap sebagai normal. Pusingan pertumbuhan rambut akan berulang apabila rambut yang gugur ini tumbuh dari folikel rambut yang sama.

Kadar pertumbuhan rambut seseorang dipengaruhi oleh faktor usia. Semakin meningkat usia seseorang, semakin perlahan fasa pertumbuhan rambut seseorang itu.

Hormon testosteron diperlukan untuk pertumbuhan rambut yang sihat. Individu yang menghadapi masalah androgenetik alopecia ini mempunyai kadar ‘enzim 5 alpha reductase’ yang tinggi. Enzim ini menukar testosteron menjadi dihydrotestosterone (hormon tidak aktif). Ia kemudian mengakibatkan fasa anagen menjadi singkat dan rambut gugur lebih awal daripada sepatutnya dalam jumlah yang banyak.

Ia juga menyebabkan folikel rambut menjadi kecil. Akibatnya rambut menjadi sedikit dan boleh botak.

Sehingga kini hanya ada dua jenis ubat-ubatan yang diluluskan dan terbukti berkesan untuk merawat masalah androgenetik alopecia iaitu ubat sapu ‘minoxidil’ dan ubat makan ‘finasteride’. Saya nasihatkan saudara berjumpa pakar kulit untuk pemeriksaan dan rawatan yang tepat.

Jawapan disediakan:
Dr Noraziah Abd Kadir Jailani,
Pakar Perubatan Am dan Dermatologi
Pusat Perubatan Darul Ehsan, Shah Alam.

No comments:

Post a Comment